Thursday 6 March 2014

Kenapa aku marah?


Sedar tak sedar, setiap manusia tidak lari dari kemarahan. Apatah lagi aku, seorang insan yang cepat marah. "Naik angin" kata orang di serantauan. Aku cuba merenung jauh ke dalam diriku. Dalam renungan itu, aku melihat aku sendiri duduk di bawah sinaran. Sekelilingnya semuanya gelap gelita. Jiwaku gundah gulana. Apakah nasib aku di masa depan?





Aku marah sebenarnya. Dalam diriku, penuh dengan kemarahan. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin kerana aku orang yang gagal? Atau kerana aku orang yang tidak berguna? Di mataku, aku benci dengan diriku. Aku kesal sekali dan amat kecewa. Aku hampir sahaja menggapai sesuatu itu. Ya, aku hampir-hampir menggenggamnya! Namun, aku terpaksa melepaskannya.Aku dihalang. Dan arah tujuanku mula susut. Aku tersekat di pertengahan jalan. Mungkin kerana itu aku marah?

Atau adakah aku orang yang tidak bersyukur? Bukankah kita dituntut untuk bersyukur? Aku telah banyak diberi peluang, namun sekali lagi aku gagal menggapai peluang itu.Benarlah, manusia ini tidak pernah mensyukuri nikmat yang diberikan. Malah mensia-siakannya. Termasuklah diriku.

Namun, aku tertanya jua dalam diriku. Apa sebenarnya yang aku cari dalam hidup ini? Kepuasan apa yang aku cari-cari? Aku lihat, ramai anak muda mudi, bersenangan di luar sana.Kelihatan pula kanak-kanak berlari-larian dengan gembiranya.Cemburunya aku pada mereka.Tiba-tiba aku berasa marah pada diriku. Adakah aku tidak bersyukur dengan nikmat yang telah ALLAH diberikan padaku?

Ayuh, cuba kita tanya diri kita sendiri.
Apakah kita sudah lali dengan suasana ini? Sedangkan jiwaku terseksa menanti hari. Ingin sahaja aku tamatkan noktah ini, agar dapatku jumpa ALLAH di syurga nanti. Namun, jalan itu tidak semudah seperti ucapan mahupun tindakan. Ia adalah jalan yang penuh dengan cabaran. Onak dan duri sentiasa menanti. Apatah lagi di depan sana, halangan sentiasa bertali arus.Tanpa pernah putus.






Sekali lagi, ku dongakkan kepalaku ke langit. Kelihatan awan menutupi purnama. Cahayanya mengusik jiwaku. Terpana seketika jiwaku.Indahnya...

Ya Allah Ya Tuhanku.Ampunkan aku...