Rock Oo! : Rimba Bara Kembali : Ada Rasa Sesuatu
Genre : Drama/ Komedi
Arahan : Mamat Khalid
Pelakon : Khir Rahman, Que Haidar, Soffi Jikan, Azmi Black, Pekin Ibrahim
Tahun : 2013
Rating : 3.5/5
Sekuel filem Rock (2005) ini arahan mengangkat perjuangan seni rocker
tanah air pada tahun 1980an. Tidak menonton versi 2005, PF secara
dasarnya menyukai filem ini. Rimba Bara, yang kehilangan vokalisnya Zul
Kapan, terumbang-ambing dalam meneruskan apa yang menjadi passion mereka
walaupun menghadapi jalan yang perit. Dengan tidak membandingkan dengan
filem pertama, tumpuan Rock Oo! hanya kepada kepayahan yang tempuhi
oleh Rimba Bara yang 2 kali datang ke KL dan 2 kali juga gagal. Jika
dilihat, Amy Mat Piah (Que) gelodak jiwanya diulang-ulang entah berapa
kali, agak terlebih dipaparkan. Kita tahu Amy nak sangat jadi vokalis
Rimba Bara, mungkin ini cerita dari dia (sebab itu dia adalah narrator)
maka selain cerita kumpulan ini, filem ini juga milik Amy Mat Piah.
Kekuatan filem ini tidak ragu-ragu PF mengatakan adalah komedi yang
selamba cara Rock Oo! Sudah tentu Jijoe (Khir) yang menonjol di antara
mereka (jika PF menonton Rock, mungkin sudah mengagak komedinya, itu pun
kalau sama). Jijoe, ketua yang boleh kata tak berapa tegas tapi suka
berfalsafah selain jiwa humor yang semulajadi. Slash (Pekin) pula
digambarkan sebagai Melayu pak turut dan tiada identiti sendiri. Azmi
Black yang sengau tidak jelas tutur katanya sekabur hala tujunya sama
ada meneruskan perjuangan rock atau bekerja di kedai makan. Studio
jamming yang kecil pula, itulah yang mampu disewa oleh mereka sesempit
laluan mereka dalam industri seni.
Kedua pasal Rock Oo! yang memikat, PF kena sebut juga, setiap kali
intro-intro lagu rock yang berkumandang, mewujudkan satu rasa yang
tinggi terhadap zaman kegemilangan rock 1980-90an di Malaysia. Ianya
hidup! Tiada filem lain di Malaysia rasanya dapat merakam era rock yang
menjadi sebegini (maaf jika ada yang lebih baik yang tidak
disedari/terlupa). Terasa ingin memutar semula lagu-lagu itu hingga
habis. Jika anda tidak hidup dalam zaman itu atau tidak meminati rock
kapak melayu, mungkin tak dapat merasakannya. Tetapi harus diingat filem
ini bukan untuk rockers sahaja, ianya melangkaui kehidupan rockers.
No comments:
Post a Comment