Tuesday 12 March 2013

Rock Oo! : Rimba Bara Kembali : Ada Rasa Sesuatu



Genre : Drama/ Komedi 
Arahan : Mamat Khalid
Pelakon : Khir Rahman, Que Haidar, Soffi Jikan, Azmi Black, Pekin Ibrahim
Tahun : 2013
Rating : 3.5/5


Sekuel filem Rock (2005) ini arahan mengangkat perjuangan seni rocker tanah air pada tahun 1980an. Tidak menonton versi 2005, PF secara dasarnya menyukai filem ini. Rimba Bara, yang kehilangan vokalisnya Zul Kapan, terumbang-ambing dalam meneruskan apa yang menjadi passion mereka walaupun menghadapi jalan yang perit. Dengan tidak membandingkan dengan filem pertama, tumpuan Rock Oo! hanya kepada kepayahan yang tempuhi oleh Rimba Bara yang 2 kali datang ke KL dan 2 kali juga gagal. Jika dilihat, Amy Mat Piah (Que) gelodak jiwanya diulang-ulang entah berapa kali, agak terlebih dipaparkan. Kita tahu Amy nak sangat jadi vokalis Rimba Bara, mungkin ini cerita dari dia (sebab itu dia adalah narrator) maka selain cerita kumpulan ini, filem ini juga milik Amy Mat Piah. 
Kekuatan filem ini tidak ragu-ragu PF mengatakan adalah komedi yang selamba cara Rock Oo! Sudah tentu Jijoe (Khir) yang menonjol di antara mereka (jika PF menonton Rock, mungkin sudah mengagak komedinya, itu pun kalau sama). Jijoe, ketua yang boleh kata tak berapa tegas tapi suka berfalsafah selain jiwa humor yang semulajadi. Slash (Pekin) pula digambarkan sebagai Melayu pak turut dan tiada identiti sendiri. Azmi Black yang sengau tidak jelas tutur katanya sekabur hala tujunya sama ada meneruskan perjuangan rock atau bekerja di kedai makan. Studio jamming yang kecil pula, itulah yang mampu disewa oleh mereka sesempit laluan mereka dalam industri seni. 
Kedua pasal Rock Oo! yang memikat, PF kena sebut juga, setiap kali intro-intro lagu rock yang berkumandang, mewujudkan satu rasa yang tinggi terhadap zaman kegemilangan rock 1980-90an di Malaysia. Ianya hidup! Tiada filem lain di Malaysia rasanya dapat merakam era rock yang menjadi sebegini (maaf jika ada yang lebih baik yang tidak disedari/terlupa). Terasa ingin memutar semula lagu-lagu itu hingga habis. Jika anda tidak hidup dalam zaman itu atau tidak meminati rock kapak melayu, mungkin tak dapat merasakannya. Tetapi harus diingat filem ini bukan untuk rockers sahaja, ianya melangkaui kehidupan rockers.


pix_topright

Rock Oo! jatuh bangun rockers Malaysia

Oleh Nor Akmar Samudin
Menonton filem terbaru Mamat Khalid, Rock Oo! bagaikan menonton konsert kumpulan rock popular pada era 1980-an dan 1990-an. Ia menghimpunkan kisah suka duka kumpulan rock pada zaman itu diwakili Rimba Bara yang bersaing hebat dengan sebuah lagi kumpulan rock iaitu Malaikat Maut.
Mengambil latar cerita era kegemilangan muzik rock ketika itu, Rock Oo! terbitan Grand Brilliance (GB) memaparkan erti perjuangan, persahabatan, ketabahan, impian dan air mata sebelum kejayaan berada dalam genggaman. Ia bukan filem komedi yang kerap kali menonjolkan elemen slapstik namun setiap paparan mampu membuatkan penonton ketawa selain turut merasakan kesedihan.
Ada sendu dan pilu, ia adalah perjalanan sebenar kumpulan rock yang datang dari kampung menuju ke ibu kota semata-mata untuk mengejar impian mereka. 'Dikapur' dek pengurus dan promoter konsert adalah perkara biasa, namun Rimba Bara tegar untuk terus mengejar cita-cita.

Mengiringi setiap tragedi dan kisah yang berlaku dalam filem berkonsepkan muzikal ini, Mamat memilih lagu rock yang malar segar seperti Cintamu Mekar Di Hati, Dari Kacamata & Sendiri (May), Meniti Titian Usang, Rozana & Pawana (Search), Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded), Tika Dan Saat Ini (Medicine), Sejuta Wajah, Teratai (Sweet Charity), Untukmu Sayang (Febian), Misteri Mimpi Syakila & Intanku Kesepian (Wings), Srikandi Cintaku (Bloodshed) serta Suci Dalam Debu (Iklim).
Foto

Semua lagu itu popular pada dekad 80-an dan awal 90-an serta diminati hingga sekarang. Dengan gandingan pelakon hebat, jalan cerita yang membuatkan kita ketawa dan sebak silih berganti, tidak keterlaluan dikatakan Rock Oo! adalah salah sebuah filem terbaik daripada Mamat.

Mamat juga bertuah kerana Rock Oo! ditunjangi pelakon hebat seperti Que Haidar (Amy Mat Piah), Khir Rahman (Jijo), Soffi Jikan (Zul Kapan) dan Pekin Ibrahim (Slash Haji Tapah). Tiada siapa dapat menafikan kehebatan mereka dan peminat Que pasti terubat dengan lakonannya yang sudah dua tahun menyepi tanpa sebarang filem dan drama.

Khir yang mengasah bakat lakonannya di pentas teater belum ada pencabarnya. Soffi kini berada di puncak kejayaan dan tanpa dialog yang berjela-jela, Pekin berjaya menjiwai wataknya sebagai gitaris handalan. Dia adalah lambang gitaris yang menjadi rebutan ramai peminat wanita dan berwajah kacak seperti Slash dan Johnny Depp.


Rimba bara vs Malaikat Maut

Rock Oo! bergerak atas semangat, keazaman dan semangat seorang rocker kampung iaitu Amy Mat Piah yang berpegang pada kata-kata 'pantang anak petani moden mengundur kalah'. Dia sanggup berjuang-juang bermati-matian demi mempertahankan minat dan cita-citanya untuk bergelar penyanyi rock terkenal.

Malang sekali, walaupun gayanya hebat mengalahkan Amy Search, tetapi nyanyian vokalis Rimba Bara ini sering 'ke laut'! Dia sebenarnya tidak berbakat sebagai penyanyi. Namun dia tetap bersungguh mahu menghidupkan semula Rimba Bara yang hampir terkubur kerana gagal bersaing dengan Malaikat Maut dengan vokalis utamanya, Zul Kapan.

Mamat berjaya menyeimbangkan keempat-empat artis berbakat besar ini pada kedudukan yang saling tidak membayangi watak masing-masing.

"Saya mengenali Khir sejak dia berlakon teater dan dia memang hebat. Dia adalah rakan baik Que dan senior kepada mereka semua. Jadi sama ada di luar dan dalam filem, saya tetap meletakkan Khir pada tempat yang sepatutnya. Saya tidak boleh meletakkan Khir di bawah Que dan yang lain-lain.

"Sebenarnya dalam filem ini, sama ada watak Khir, Que, Soffi dan Pekin sama penting. Pada mulanya Que tak mahu berlakon selepas dua tahun dia berehat tetapi saya katakan padanya, kalau dia tak mahu berlakon dalam Rock Oo!, saya tak akan buat filem ini kerana Amy Mat Piah adalah penggerak kepada filem ini," katanya ketika ditemui di majlis previu filem Rock Oo! di Damansara, Khamis lalu.

Mamat berkata, dia lega apabila Que akhirnya tewas atas pujukan Khir juga, pelakon itu akhirnya muncul dalam Rock Oo!

Katanya, mereka juga merakamkan semula lagu Teratai daripada Sweet Charity menggunakan suara sebenar Khir untuk Que 'miming' dalam satu babak filem ini.

Namun, dia dilihat tidak serasi dengan suara Khir sebelum mereka membuat keputusan merakamkan lagu itu menggunakan suara Que sendiri dan hasilnya menjadi.

Mamat berkata, dalam Rock Oo! Amy Mat Piah ialah seorang pemuda kampung yang meminati lagu balada, tetapi terikut-ikut menyukai lagu rock apabila demam muzik rock melanda.

"Ketika itu semua orang nak jadi mat rock. Gaya Amy adalah seorang rocker sejati tetapi tidak ada bakat dalam menyanyi. Namun, dia berusaha memujuk Jijo dan Mi Black untuk menghidupkan semula Rimba Bara dengan harapan dia dipilih menjadi vokalis utama kumpulan itu," katanya.

Rock Oo! adalah sekuel filem Rock yang diterbitkan pada 2005. Kali ini dengan 'tagline', 'Biar putus cinta, jangan putus tali gitar' sudah cukup membuatkan penonton boleh membayangkan komedi yang bakal dipersembahkan.


Pekin diburu kebimbangan

Pekin Ibrahim sanggup membeli gitar dan berlatih bermain gitar setiap hari semata-mata mahu menjiwai watak pemain gitar, Slash Haji Tapah supaya kelihatan seperti pemain gitar hebat pada era 80-an.

Selepas membeli gitar, pelakon berbakat besar ini turut bermain gitar di depan Mamat bagi meyakinkan pengarah itu. Malah, dia juga membuat persediaan rapi kerana takut untuk berlakon di samping Que Haidar, Khir Rahman dan Soffi Jikan yang disifatkannya lebih hebat daripadanya.

"Saya takut dan segan untuk berlakon dengan mereka, jadi seboleh-bolehnya saya membuat persediaan rapi. Saya juga menghayati cara Sham Kamikaze memetik gitar. Saya rakamkannya dengan telefon dan cuba meniru gayanya," katanya.

Pekin juga berdepan cabaran kerana wataknya tidak ada dialog namun dalam masa yang sama perlu membuatkan penonton kasihan dan sayangkannya.

"Dalam diri setiap orang termasuklah bintang rock, pasti ada sifat penyayang. Nampak ganas tetapi dalam hati tetap ada taman," katanya.
'Rock Oo' Berjaya Hidupkan Kenangan 'rock kapak'

FILEM: Rock Oo
ARAHAN: Mamat Khalid
LAKONAN: Que Haidar, Khir Rahman, Shoffi Jikan, Pekin, Saiful Apek, Azmi Black
GENRE: Komedi, Muzikal
DURASI: 90 Minit
PENERBIT: Primeworks Studios Sdn Bhd dan Naga VXS Sdn. Bhd.
TAYANGAN: 28 Februari 2013
BUAT pengikut filem Rock (2005) yang menyaksikan kumpulan Rimba Bara mencipta nama sebagai rockers era 1980-an, inilah masanya untuk menonton kesinambungannya iaitu Rock Oo yang mula ditayangkan pada 28 Februari 2013.
Filem yang pasti ditunggu-tunggu ini menghimpunkan kisah jatuh bangun kumpulan-kumpulan rock pada ketika itu dan Rimba Bara mewakili golongan-golongan yang dipandang serong oleh masyarakat sebagai plot utamanya.
Rimba Bara yang asalnya dari sebuah kampung berhijrah ke ibu kota mengejar impian untuk bergelar kumpulan rock yang popular. Namun sebelum menempa kejayaan, mereka lebih merasai pahitnya di mana mereka telah 'dikapur' pengurus sendiri dan promoter konsert.
Mengenali karya air tangan Mamat Khalid, filem ini bukan sekadar memberi hiburan semata-mata, sebaliknya suntikan pengajaran yang memaparkan erti persahabatan, perjuangan dan ketabahan dalam mengejar impian masing-masing.
Komedi yang ditampilkan Mamat juga bukan lawak-lawak kosong atau ‘slapstik’ tetapi gelak ketawa penonton pasti akan bersilih ganti dengan rasa sedih di hati.
Tambah pula dengan lakonan hebat barisan para pelakonnya, seperti Que Haidar (Amy Mat Piah), Khir Rahman (Jijo), Soffi Jikan (Zul Kapan) dan Pekin Ibrahim (Slash Haji Tapah), karya Mamat tampak sempurna dengan lakonan mantap yang dipersembahkan mereka.
Lakonan Que yang mantap itu juga semestinya dinanti-nantikan oleh peminat-peminatnya memandangkan lebih tiga tahun dia tidak beraksi di layar perak.
Filem ini mengisahkan kumpulan Rimba Bara yang hampir berpecah disatukan kembali atas semangat Amy Mat Piah yang ingin menjadi penyanyi rock terkenal.
Penyatuan ini membawa Amy bertemu dengan Jijo, Black dan juga Slash dalam rancangan mereka untuk ke Kuala Lumpur mendapatkan tawaran persembahan selepas vokalis Rimba Bara, Zul Kapan dilamar Luncai Emas untuk bersama dengan kumpulan Malaikat Maut.
Walaupun vokal Amy tidak seberapa, dia tetap bersungguh-sungguh dan tidak berputus asa untuk meyakinkan Rimba Bara menjadi vokalis kumpulan tersebut.
Bagaimanapun, ketika mereka pulang ke kampung halaman semula gara-gara ditipu, Zul Kapan muncul semula untuk menyertai Rimba Bara.
Berdasarkan sinopsis yang dibaca, bunyinya amat ringkas, namun, Mamat telah menyulam plot ceritanya dengan kemas. Cukup serba serbi, komedi, serius dan sedih diadun sekali.
Aliran kisah filem ini membuatkan para penonton mahu mengikuti perjalanan cerita yang mengalir dalam imbauan masa dahulu.
Bagi peminat-peminat tegar muzik rock tempatan, mungkin ada yang menyedari bahawa filem ini menyindir sini terhadap banyak pihak dalam cara gurauan.
Malah terdapat beberapa babak yang menampar kenangan lama bagi yang pernah terlibat dalam industri muzik negara pada ketika itu terutamanya pada babak memotong rambut penggiat muzik rock di khalayak.
Variasi parodi di dalam filem ini pasti akan menggeletek hati penonton lebih-lebih lagi apabila setiap babak dan watak yang Mamat tonjolkan sebenarnya mempunyai kaitan dengan penggiat seni tanah air yang enggan diberitahu siapa.
Namun, bagi peminat seni tegar, watak-watak dan babak yang dipaparkan pasti mengundang senyum dan tawa pada penonton.
Dalam pada itu, sindiran Mamat kepada generasi 80-an yang begitu taksub dengan pengaruh muzik barat turut dibawakan dengan gaya santai dan menghiburkan.
Filem Mamat disedapkan lagi apabila setiap plot cerita diiringi lagu-lagu rock yang pernah menjadi fenomena pada zaman itu seperti Cintamu Mekar Di Hati, Dari Kacamata & Sendiri (May), Meniti Titian Usang, Rozana & Pawana (Search), Ku Di Halaman Rindu (Lefthanded), Tika Dan Saat Ini (Medicine) dan Sejuta Wajah & Teratai (Sweet Charity).
Turut dipaparkan Untukmu Sayang (Febian), Misteri Mimpi Syakila & Intanku Kesepian (Wings), Srikandi Cintaku (Bloodshed) serta Suci Dalam Debu (Iklim).