Monday 25 November 2013

Memori di Flat PKNS Kg Kerinchi...



   October 31, 2013 



Gempar! Flat PKNS Kerinchi Hangus Terbakar

Ketika segelintir rakyat Malaysia bersiap-siap mahu keluar daripada pejabat, kita digemparkan dengan kejadian kebakaran melibatkan sebuah flat PKNS di Kerinchi. Kebakaran ini sangat mengejutkan dan menjadi perhatian penduduk yang berada di sana. Tambahan lagi, dek kerana kebakaran di tingkat 17, pihak bomba juga mengalami kesukaran untuk berkejar ke sana akibat kesesakan jalan raya. Semoga semuanya selamat, takziah untuk mangsa. 

terbakar5


SHAH ALAM – Flat PKNS Kampung Kerinchi dilaporkan terbakar sekitar jam 4.40 petang tadi.
Pihak bomba dikatakan sedang berusaha memadam kebakaran di tingkat paling atas flat 17 tingkat itu.
Berita itu turut disahkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar di laman Instagram miliknya.
“Flat PKNS 17 tingkat alami kebakaran. Makluman untuk penghuni dan penduduk setempat. Innalillah,” tulisnya.
Dalam satu laporan di sebuah laman portal menyebut, kebakaran tersebut memusnahkan kira-kira enam unit rumah.









Pertama kali aku terlihat berita yang ditayangkan di TV9 itu hatiku berdetak...eh...macam kukenal flat itu.Tapi betulkah...lantaran telingaku menangkap si pembaca berita menyatakan Flat 17 tingkat di Pantai Dalam.Hmm...bukan kot...flat tu 16 tingkat jer...Kg Kerinchi.Namun hatiku bertambah tidak enak  apabila Buletin Utama TV3 memaparkan pula Flat PKNS 16 tingkat Kg Kerinchi...terbakar...

Ah sudah...sah.Memang betul flat itu.Kuamati betul2 gambar2 yang terpampang di skrin tv.Memang tidak syak lagi.Serta merta jantungku berdegup laju dan hatiku pilu tiba2.Masakan tidak.Meskipun sudah hampir 20 tahun berlalu masih terbayang jelas dalam ingatan flat inilah syurga tempat aku dan tujuh lagi rakan serumahku menetap...kebetulan di tingkat paling atas, tempat kebakaran itu berlaku.

 1994...tahun semester akhir pengajianku sebagai guru pelatih di Institut Bahasa Kuala Lumpur atau IBKL yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Malaysia atau IPGM Kampus Bahasa Melayu di Lembah Pantai yang berjiran dengan Universiti Malaya dan Pusat Matrikulasi UIA ketika itu.Tiga semester sebelumnya aku menetap di asrama antik 13 tingkat dlm kawasan kampus itu tetapi sengaja aku dan teman2 ingin merasai kehidupan di luar kampus pada semester terakhir sebelum kami dihantar berpraktikum di tempat yang entah di mana lokasinya.Aku (Johor),Anisah(Pahang),Awin,Atie dan Mimi(Sarawak),Tumis dan Misah (Sabah) dan seorang lagi teman (Melaka)...alamak...sorrylah...aku lupa pulak nama dia sepakat untuk menetap di salah sebuah rumah di tingkat 16 itu.Sememangnya dua tingkat teratas iaitu tingkat 15 dan 16 telah ditetapkan sebagai tempat penginapan student sahaja.Kalau tak silap aku tingkat 15 untuk student lelaki dan tingkat 16 untuk student perempuan macam kami.Jadi taklah kami bimbang sangat untuk menetap di situ.

Sebenarnya aku buat hati kering jerpun nak ikut diaorang tinggal kat situ sbb belum lama pun sebelum tu , Disember 1993 negara dikejutkan dengan tragedi sebuah blok kondominium Highland Tower yang runtuh.Asrama IBKL yang amat antik tu walaupun ada 13 tingkat dan atas bukit pulak tu, kami semua guru pelatih perempuan cuma dok sampai tingkat 6 jer.Memulas sebetulnya perut aku nak duduk kat bangunan tinggi lagi...gayat...tapi lama2 nanti oklah kot...pujuk Anisah yg pandai betul meracun aku...termakan racun juga aku sudahnya...hi hi


Seingat aku sewa rumah termasuk air dan eletrik adalah RM550 ketika itu.Line telefon memang tidak disediakan jadi hanya beberapa unit telefon  awam sahaja yang ada di aras bawah itu  untuk dikongsi dengan beratus lagi penghuni lain.Hmm...bayangkan...Handphone lagilah...memang tak pernah terbayang lagi dalam kepala otak aku ketika itu.Tak macam student sekarang kan. Semua pakai smartphone...termasuk anak dara aku yang baru Tahun 2 tupun dah pandai request Samsung Galaxy Tab versi terbaru utk birthday dia...Adehhh...


Even 20 tahun dulupun dah ketara usangnya flat tu.Tak pastilah aku berapa usia sebenarnya cuma yang pasti memang dah tak berapa cun.Paling ketara lifnya...cuma ada dua.Tak berapa sihat pulak tu.Kalau tak silap aku satu lif cuma sampai ke tingkat 15.Bermakna kami kena menapak lagi satu tingkat utk sampai ke tingkat 16.Jarang benar kami menggunakan lif yang ini sbb dah tentunya akan berkongsi dengan student2 lelaki kat tingkat 15 tuh.Malangnya lif ke tingkat 16 selalu rosak pulak so mau tak mau terpaksalah ...takkan nak menapak pulak tangga...fuhhh...mau tercabut kepala lutut.Kalau kebetulan aku sorang2 kena guna lif naik ke tingkat 15 tu berdoalah aku banyak2 dalam hati moga2 tak terserempak dengan student2 tu especially yg sekampus dengan aku.Tapi kalau terserempak jugak....aku sanggup tunggu lif yang dah hampir sama baya dengan nenek2 si Bongkok Tiga tu naik dulu dan turun semula...he he...Ish2...kalau 20 tahun dulu lif2 tu dah sebaya nenek2...sekarang ni rasanya mesti dah selevel dengan Nenek Kebayan pengasuh Puteri Gunung Ledang...betapa retronyer...hu hu


 Yang bestnyer duduk kat flat tu ada pasar malam dua kali seminggu.Kalau tak silap aku waktu tu pasar malam pada setiap hari Khamis dan Isnin.Lokasinya betul2 kat jalan tar menghala ke flat.Begitu jugak dengan Pasar Ramadan.Dari tingkat tempat rumah kami yang nun di puncak tu akan kelihatanlah deretan payung2 peniaga pasar malam yang betul2 menggoda kami untuk turun.Apatah lagi kalau perut pun sememangnya tengah berdendang minta diisi.Apalagi aku dengan kawan baikku Anisah akan cepat2 turun mengukur panjangnya pasar malam tu...nostalgianya pasar malam tu sebab kat sinilah aku belajar cara nak beli dan makan yong tau foo.Sebelum tu tak pernah pun.Kampung betullah aku ni...hi hi...dan tak sangka pulak selepas tu aku jadi penagih tegar Yong Tau Foo.Sampailah sekarang...he he


kat sinilah...tapi bangunan2 tinggi kat belakang tu dulu belum ada lagi...

Macam2 ada jual kat pasar malam ni...dan macam2 orang jugak yang boleh kita jumpa kat sini.Tapi yang ramai rasa aku dah tentu student2 UM,Matrikulasi UIA dan of course student IBKL sendiri apatah lagi macam kitaorang yang memang duduk kat area ni...Zon Kerinchi.Zon outcampus lain,Zon Bangsar,Brickfields dan Pantai Dalam agak jauh sikit dari IBKL.Kena ada transport baru senang nak ulang alik ke kuliah.Kalau guru pelatih perempuan memang ramai yang duk kat Zon Kerinchi ni sebab paling dekat...jalan kaki jer even sebenarnya agak jauh gak kalau menapak dari Flat PKNS tu ke kampus.Naik turun bukit lagi...tapi sebenarnya tulah rahsia kenapa kitaorang yang duduk kat Zon Kerinchi ni semua slim dan solid molid belaka...sebab  menapak beratus langkah tu setiap pagi dan petang.Ha ha ha...perasan!


Memang takde muka2 lain dah yang selalu kami jumpa kat situ.Asyik2 orang yg sama gak sampai cam dah muka cuma nama je tak tau.Makanan pulak selain dari yong tau foo,beberapa jenis makanan yang aku rasa istimewa ada kat sini ialah Laksa Buyung...haaa...pelik tak nama dia?Aku pun heran gak mulanya...laksa Penang,laksa Johor aku taulah...buyung aku memang tak tau.Bila dihampiri...



kuah laksa buyung dok dalam benda nie...

Owh patutlah...laksa Penang atau laksa utara rupa2nya cuma kuahnya dimasak dalam buyung...bukan dalam periuk besar macam laksa biasa.Rasanya pulak mcm laksa utara biasa cuma seingat aku laksa buyung kat pasar malam Kg Kerinchi tu punyalah pedas.Bukan sebab kuahnya pedas tapi sebab antara taburan ulam2annya ialah cili padi keturunan siam...puhhh...patutlah pedas giler!Itu dulu...skrg dah tak kisah dah.Dah lali...he he he


Laksa Utara a.k.a Laksa Penang...kenal?



Aku dengan Anisah pulak masa tu suka sangat beli mihun atau mi soto sorang pakcik yang aku dah lupa nama dia tapi selalunya dia berniaga berdua dengan isteri dia.Aku ingat sangat kat makcik tu sebab walaupun cuma berniaga di pasar malam tapi touched up dia mengalahkan orang nak pegi kenduri kahwin...he he...tu Anisah yang cakap...bukan aku okay!Tak kisahlah...sebab memang sedap soto yang diaorang jual.Murah dan isi banyak pulak tu...padanlah dengan ekonomi kitaorang yang belum berapa stabil ni kan... 


lebih kurang camnilah mi soto yang kitaorang selalu beli tu...

Tu kisah pasar malam.Deretan kedai kat tingkat paling bawah pun banyak meninggalkan kenangan yang tidak kurang manisnya.Kedai runcit kat bawah tu dah tentu tempat utama untuk kami  dapatkan bekalan makanan kering macam beras,gula,garam,telur dan sebagainya selain  barang2 keperluan harian yang lain.Itu normallah kan cumanya ada satu service tambahan kat kedai tu...hehehe...tempat display free kain baju yang terbang jatuh dari ampaian di rumah2 tingkat atas dan kemudian landing elok jer kat depan kedai.


Pemilik kedai tu sangat baik orangnya.Agaknya mungkin dah terlalu banyak baju2 atau yang sewaktu dengannya yang jatuh kat depan kedai dia yg tidak diketahui tuannya maka atas dasar keperihatinannya tu baju2 tersebut digantung elok2 di hadapan kedai...tak ubah macam kat butik cuma tak pernah ada lagilah yang disarungkan kat patung...sangat menarik perhatian ...dan sudah tentunya sangat berkesan untuk mengesan tuan punya baju tu.Pada awalnya kelihatan agak melucukan...yalah....dari jauh lagi dah nampak kemeriahannya sehinggalah satu petang Anisah berbisik kat telinga aku sebaik kami sampai di depan kedai tu ketika balik dari kuliah.Nampak macam baju kau jer yang tergantung kat kedai tu....dan bila aku menoleh...


Alamak...betullah baju aku...hi hi hi...dengan tersipu2 sambil kontrol cun konon2nya....terpaksalah aku tebalkan muka menuntut baju tu kat kaunter kedai...ciss...malunya...apatah lagi dua tiga orang customer kat dalam kedai tu macam pakat2 pulak senyum2 kambing bila tengok tuan punya kedai tu bawak turun baju aku yang tergantung cantik jer kat kedai tu.Nasib baiklah service tu free jer dan baju yang terbang jatuh tu  pulak baju kurung yang paling aku sayang.Kainnya pulak elok jer masih tergantung kemas kat ampaian.Macam manalah kau boleh terbang jatuh wahai baju bertuah...adehhh...Tak kanlah  nak pakai kain tu dengan baju yang lain pulak kan....haru betul!Habis satu rumah gelakkan aku bila Anisah pecah lobang sebaik sampai kat rumah...dan mulai hari itu aku lebih rela sidai baju aku dalam bilik walaupun lambat keringnya...tak sanggup aku kalau pisang berbuah dua kali...huhu...Camnapun aku rasa tulah kenangan paling manis sepanjang aku menjadi warga flat bertuah tu.


Berumah di tingkat paling atas bukanlah pengalaman yang menakjubkan malah kadang2 amat menggerunkan terutama ketika hujan lebat ditambah pulak dengan angin kencang...aduhhh...bergelora satu badan...kecut perut aku dibuatnya.Dan dari balkoni rumah selalunya kami dapat melihat dengan jelas menara Kuala Lumpur yang baru siap ketika itu...


sangat indah walaupun agak jauh dari  rumah kami...

dan bila berpaling ke arah kanan pulak akan nampak bangunan ini...bangunan Angkasapuri...



...dekat tapi yang tak bestnya siaran TV1 dan TV2 tetap blurr...hampeh!


Memanglah berdekatan sebab bangunan Angkasapuri tu terletak di Pantai Dalam.Hah...tiba2 aku teringat  pula satu peristiwa lucu ketika suatu aku dan Anisah keluar ke KL...tak ingatlah pulak pergi ke mana sehingga menjelang malam.Akibat terburu2 hendak  balik ke rumah kerana sudah lewat, kami tersilap naik bas mini tanpa kami sedari.Sepatutnya bas mini yang lalu di hadapan flat ialah bas mini bernombor 33 atau 35...tetapi rupa2nya kami telah menaiki bas bernombor 55 yang sudah tentu menghala ke Pantai Dalam.Kebetulan kami tertidur pulak di dalam bas dek keletihan berjalan seharian.Mujur aku tersedar apabila aku perasan bas mini itu melalui jalan yang bukan sepatutnya kami lalui untuk sampai ke rumah.Cepat2 aku tekan loceng dan bas berhenti betul2 di hadapan Angkasapuri...apabila kutarik tangan Anisah untuk turun dari bas barulah kami perasan bas yang kami naiki bernombor 55...bukan 35 seperti yang sepatutnya.Terpaksalah pulak kami tahan teksi untuk balik ke Kg Kerinchi sambil menekan perut menahan tawa akibat kelalaian sendiri...


bas inilah yang kami tersilap naik sehingga sesat dan turun di kaki Angkasapuri...

Sungguhpun lucu ia benar2 mengajar kami supaya lebih berhati2 ketika menaiki bas terutama pada waktu malam.Mujurlah aku berdua dengan Anisah...kalau tidak tak taulah...


Pengalaman tinggal di flat itu juga telah mengubah selera aku yang tidak suka langsung minum susu soya kepada tiba2 menjadi penggemar minuman itu sehingga kini.Dulu aku tidak kenal apa itu taufufah malah baunya sahaja sudah cukup buat tekak aku loya.Benarlah kata orang...tak kenal maka tak cinta.Semuanya bermula apabila setiap petang ketika balik kuliah kami pasti melintasi gerai seorang makcik yang menjual air soya sejuk dan panas di hadapan flat kami.Apa yang membuatkan ia berlainan daripada peniaga lain ialah air soya sejuk atau panasnya boleh diminta untuk dicampurkan dengan isi taufufah atau tauhu lembut yang turut dijualnya.Anisah amat menggemari air soya jualan makcik itu tetapi tidak aku.


Isi tauhu lembut yang dicampur dalam air soya jualan makcik itu...



Aku cuma menggeleng ketika Anisah mempelawa aku merasa air soya yang dibelinya.Malah aku menutup hidung dan menolak air itu jauh dari mukaku.Anisah cuma ketawa sehinggalah suatu hari tiba2 sahaja dia menyuap air soya yang dibelinya ke mulutku dan memaksa aku menelannya.Amboih...ganas jugak awek ni...dan entah bagaimana tiba2 sahaja aku merasa sesuatu yang amat enak di dalam mulutku.Lembut,manis dan dingin...Emmm...sedap jugak ya...


Tulah...dulu sombong sangat...perli Anisah sambil ketawa.Benar sungguh kata Anisah.Barulah aku tau kenapa jualan makcik itu begitu laris.Dan selepas itu aku pun turut termasuk dalam senarai utama customer tetapnya...sampai boleh teringat2...termimpi2 dan termengigau kalau lama tak merasa keenakannya.Hmmm...nampaknya benar sungguh apabila sudah jatuh cinta segala2nya boleh berubah dalam sekelip mata!


Cuma lebih kurang enam bulan saja kami menjadi penghuni flat itu apabila semester berikutnya aku dipostingkan balik ke negeri kelahiranku sepertimana Anisah yang dapat pulang ke kampung asalnya, Pahang.Banyak lagi momen2 indah yang telah kami kongsi bersama di sana seperti betapa siksanya kami terpaksa menapak tangga apabila bekalan eletrik tiba2 terputus...mujur cuma sekali.Terpaksa pula menumpang mandi di asrama kampus apabila bekalan air terputus tanpa notis dan paling aku tidak boleh lupa ialah apabila suatu hari ketika aku berseorangan menaiki lif aku tidak perasan langsung yang lampu lif rupa2nya tidak berfungsi.


sebelum masuk lif pastikan lampunya berfungsi...aku dah terkena...


Kebetulan ada seorang mamat yang kurasa student juga tapi bukan student sekampusku turut sama masuk ke dalam lif.Cuma kami berdua sahaja.Sebaik pintu lif tertutup....ambik kau..Hampir pengsan aku kerana tiba2 saja semua jadi gelap gelita.Tidak ada kelibat cahaya langsung.Dalam rasa terkejut yang amat sangat aku menahan nafas sambil memegang hulu payung kuat2.Apa2 jadi pun aku dah bersiap sedia...sunyi sepi...sehingga akhirnya loceng berbunyi.Daun pintu lif terbuka dan suasana terang semula.Selamat sampai dan selamat semuanya... dan masih terbayang lagi  si mamat tu sempat tersenyum pahit sebelum cepat2 melangkah keluar.Agaknya diapun terkejut dan tidak menyangka sama sekali kami akan terperangkap dalam suasana penuh suspen sebegitu.Apatah lagi mungkin dia perasan wajahku  sudah pucat seperti mayat...serik sungguh aku...serius ia sangat menakutkan!Huh...trauma aku dengan lif itu hampir seminggu...


Kini aku dan teman2 serumah di flat itu sudah bertahun2 membawa diri balik berkhidmat di kampung halaman masing-masing.Flat nostalgia inipun sudah tidak kujejaki lagi.Tentunya sudah banyak perubahan pada flat itu dan persekitarannya juga seperti yang kulihat pada gambar2 yang merakam peristiwa kebakaran itu.Ah...tiba2 saja terasa rindunya pada kenangan silam.....



Sahabatku Anisah Jaafar...di manakah dikau sekarang?


 



No comments:

Post a Comment