CINTA…DI PERTENGAHAN USIA
Ada apa dengan cinta? Untuk apa kita
bercinta? Untuk menjawabnya, mari kita fikirkan satu analogi, analogi
cinta. Fikirkan tentang sebatang pena. Pena dicipta untuk menulis.
Selagi ia digunakan untuk menulis, selagi itulah pena itu berada dalam
keadaan selamat dan berguna.
Tetapi sekiranya pena itu digunakan untuk mencucuk, dicampak atau digunakan sebagai pengetuk, maka ia akan rosak. Mengapa?
Pena akan rosak sekiranya ia digunakan
bersalahan dengan tujuan ia diciptakan. Ia diciptakan untuk menulis,
bukan mengetuk atau mencucuk. Pena yang disalahgunakan akan rosak.
Apabila rosak, ia akan dibuang ke dalam tong sampah. Ketika itu ia tidak
dinamakan pena lagi. Ia dinamakan sampah!
Begitulah juga cinta. Cinta dicipta oleh
Allah untuk dua insan bernama lelaki dan wanita beribadah kepada-Nya.
Selagi cinta berlandaskan dan bermatlamatkan ibadah, yakni selaras
dengan tujuan ia diciptakan, maka selagi itu cinta itu akan selamat dan
bahagia. Sebaliknya, jika cinta itu diarahkan secara bertentangan dengan
tujuan ia diciptakan, maka cinta itu akan musnah dan memusnahkan.
Keindahan cinta itu akan pudar dan tercalar.
Ketika itu hiduplah kedua-duanya (suami
dan isteri) dengan perasaan yang hambar dan tawar. Tanpa cinta, manusia
akan “bertukar” sama ada menjadi haiwan ataupun robot yang tidak punya
rasa kemanisan lagi – bukan sifat-sifat luarannya, tetapi sifat-sifat
dalamannya. Hidup berumah tangga tanpa cinta umpama kapal yang belayar
tanpa angin. Keserasiannya mudah retak. Hanya kerana kesalahan yang
sedikit, perbalahan dan krisis mudah berlaku. Keadaan rumah tangga pada
waktu itu boleh diumpamakan sebagai “hidup segan, mati tak mahu”.
Memang, pada usia empat puluhan dan ke
atas (dalam sesetengahnya keadaan lebih awal lagi), suami isteri akan
dilanda satu krisis tabii yang dinamakan oleh pakar-pakar psikologi
sebagai krisis pertengahan umur. Pada waktu itu hormon testosteron akan
berkurangan seiring berlakunya beberapa perubahan yang “mengejutkan”.
Lelaki Andropaus
Kaum lelaki akan mengalami fasa andropous yang
mengakibat kurang daya rangsangan seks, cepat rasa letih, perubahan
emosi seperti cepat marah,cepat merajuk, mudah rasa tertekan dan “mood”
yang berubah-ubah. Pada waktu inilah lelaki akan diserang oleh pelbagai
rasa yang meresahkan. Antaranya ialah dia mula berasa tidak bahagia
dengan hidup dan gaya hidupnya sendiri.
Manakala secara interpersonal dia mula
berasa bosan dengan individu-individu yang berada di sekelilingnya. Dari
sudut kerjaya dan hobi, tiba-tiba ada bidang lain yang menarik
minatnya. Dia seolah-olah menjadi remaja buat kali kedua walaupun dalam
keadaan tenaga dan upaya semakin menyusut.
Lelaki andropaus juga dilanda penyesalan
tentang pilihan-pilihan yang telah dan pernah dibuatnya dalam hidup.
Mengapa aku memilih yang ini, tidak yang itu? Sampai pada satu tahap,
dia berasa marah dengan isterinya dan rasa terikat dengannya. Dan paling
menggerunkan apabila mula timbul keinginan untuk menjalinkan hubungan
baru. Jangan terkejut jika pada usia ini lelaki yang selama ini “pijak
semut pun tak mati” pun akan berlaku curang!
Wanita Menopaus
Bagi kaum wanita pula, mereka akan
mengalami fasa menopaus. Tahap ini juga melibatkan perubahan fizikal,
tingkah laku, emosi dan kejiwaan. Perubahan ini boleh menghala kepada
kebaikan, mahupun sebaliknya. Wanita yang mengalami fasa ini akan
terdorong untuk lebih berdikari dan mandiri. Fokusnya lebih kepada
keakuannya. Dia ingin memiliki kemampuan kewangan sendiri, hobi dan
objektif sendiri dan pelbagai lagi yang “sendiri”. Pada waktu itu ada
wanita yang mengejar kembali atau “qada” semula apa yang tidak dapat
dicapainya semasa muda.
Walau apa pun krisis yang melanda diri
suami dan isteri, Islam punya cara untuk menangani krisis pertengahan
umur. Islam adalah agama fitrah yang mampu menghadapi perubahan dalam
fitrah kehidupan berumah tangga. Selagi berpegang kepada aqidah, syariat
dan akhlak islamiah lelaki andropaus dan wanita menopaus akan dapat
mengawal perubahan biologi mahupun psikologi ke arah kebaikan.
Hakikatnya, siapa kita sewaktu tua
dicorakkan oleh masa muda kita. Jika cinta kita dibina atas tujuan
beribadah, maka tujuan itu mampu mempertahankan kita daripada landaan
godaan, cabaran dan masalah yang datang bersama krisis pertengahan umur.
Jika pangkal jalan kita benar, betul dan kukuh maka mudahlah kita
kembali ke pangkal jalan itu apabila dirasakan ada yang tersasar di
pertengahan jalan kehidupan itu.
Suami andropaus dan menopaus hakikatnya
diuji dengan keegoan (ketakburan). Sama-sama ego. Cuma selalunya ego
lelaki lebih terserlah, manakala ego wanita lebih tersembunyi. Ego
itulah yang menyebabkan suami merasakan dirinya lebih baik, gagah dan
berupaya sehingga mula menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Ego
itulah yang menyebabkan isteri mula berasa kuat dan mampu melalui
kehidupan tanpa bersandar lagi kepada pandangan dan pimpinan suami. Dan
ego itulah juga yang menyebabkan kedua-duanya melakukan aktiviti atau
tindakan yang bertentangan dengan syariat.
Penyakit Ego
Ego dengan manusia berpunca daripada ego
kepada Allah. Orang yang besar diri sebenarnya tidak mengenal kebesaran
Allah. Jika Allah “dibesarkan” dalam dirinya, nescaya terasa kerdillah
diri dan dengan itu seseorang manusia akan mudah berhubung dengan
manusia lain. Kenal Allah juga akan membuahkan rasa cinta kepada-Nya.
Dan cinta kepada Allah itulah sumber cinta kita sesama manusia. Gugurlah
tiga ciri ego – berasa diri lebih baik, memandang hina orang lain dan
menolak kebenaran daripada diri suami dan isteri. Dan dengan itu,
mudahlah mereka berdua menghadapi krisis pertengahan umur.
Jadi, sangat penting dijaga niat dalam
membina cinta dalam rumah tangga. Ia hakikatnya satu hijrah dari alam
bujang ke alam perkahwinan dan hijrah itu mestilah didorong oleh niat
yang baik, benar dan betul. Berniatlah berkahwin kerana Allah, kerana
itulah pangkal jalan yang dapat kita susuri kembali apabila bertembung
dengan masalah dalam kehidupan berumah tangga pada awal, pertengahan
atau di hujungnya nanti. Ingatlah pesanan Rasulullah s.a.w. bahawa
seseorang akan mendapat ganjaran atau balasan mengikut apa yang
diniatkannya.
Bagaimana pula dengan pasangan yang telah
terlajak? Maksudnya, mereka yang berkahwin tanpa sedikit pun terniat
kerana Allah? Yang berkahwin hanya atas dorongan fitrah dan
dilangsungkan atas dasar adat bukan ibadat? Perlu diingat, tidak ada
istilah terlambat dalam melakukan satu kebaikan. Selagi ada nyawa di
badan, maka selagi itulah kita mampu membetulkan atau memperbaharui niat
dalam perkahwinan. Bertaubatlah atas niat yang salah dan sebagai
gantinya, binalah niat baru yang lebih benar dan jitu.
Gelanggang Ibadah
Katakan pada diri bahawa rumah tangga ini
pada hakikatnya ialah gelanggang untukku dan pasanganku serta seluruh
anggota keluargaku untuk beribadah kepada Allah. Ibadah bukan sahaja
terbatas kepada solat, puasa, haji, zikir dan sebagainya. Tetapi semua
tugas menyelenggarakan sebuah keluarga juga dikira sebagai ibadah. Suami
yang mencari rezeki yang halal, mendidik isteri, membimbing anaknya
adalah suami yang sedang beribadah kepada Allah.
Begitu juga isteri yang memasak, mencuci
pakaian, menjaga anak-anak ialah juga isteri yang hakikatnya sedang
beribadah kepada Allah. Selagi semua anggota keluarga beribadah dan
rumah tangga dijadikan gelanggang ibadah, maka akan wujudlah ketenangan,
kemesraan dan kasih sayang sesama mereka.
Katakan juga bahawa rumah tanggaku akan
hancur sekiranya ia tidak lagi menjadi gelanggang ibadah buat seluruh
anggota keluargaku. Aku, pasanganku dan anak-anak yang bertindak
bertentangan dengan tujuan kami diciptakan akan merobohkan syurga yang
indah ini.
Memang pada awal rumah tangga dibina
segalanya akan nampak indah. Ini kerana segala-galanya terbina di atas
fitrah… Maksudnya semua manusia secara fitrahnya (instinct)
inginkan cinta. Seorang lelaki inginkan kasih sayang seorang isteri dan
begitulah sebaliknya. Tetapi cinta yang berasaskan fitrah sahaja tidak
cukup untuk mempertahankan keharmonian dalam sebuah rumah tangga.
Fitrah perlukan syariat. Syariat itu
ialah peraturan Allah. Melaksanakan syariat itulah ibadah. Syariatlah
yang mengatur, menyubur dan mengawal fitrah. Allah yang mengurniakan
cinta dan Allah jualah yang menurunkan syariat untuk mengawal dan
menyuburkannya. Jika tidak, cinta akan tandus. Kasih akan pupus. Sama
ada dalam diri lelaki andropaus mahupun wanita menopaus.
Ingatlah bahawa cinta itu adalah rasa. Ia
tidak terbina oleh urat, daging dan tulang. Tetapi ia rasa yang terbina
di hati. Di daerah rasa, tidak ada tua atau muda. Tidak ada permulaan,
pertengahan atau pengakhiran. Di hati yang beriman, tetap ada cinta.
Cinta tetap muda walaupun yang bercinta telah tua… justeru cinta itulah
yang membentuk hati yang sejahtera, bekal kita ke alam syurga!
~ petikan blog Genta Rasa ~
...di hati yang beriman tetap ada cinta...cinta tetap muda walaupun yang bercinta telah tua...
~ petikan blog Genta Rasa ~
...di hati yang beriman tetap ada cinta...cinta tetap muda walaupun yang bercinta telah tua...
No comments:
Post a Comment