Isu keselamatan, kesibukan ibu bapa, tarikan televisyen dan
permainan moden (yang berkaitan dengan komputer) membuatkan ramai
kanak-kanak membesar dalam persekitaran sempit dan terkurung. Maka tidak
hairanlah jika kini semakin ramai kanak-kanak memerlukan cermin mata
pada umur yang sangat muda iaitu ketika berada di sekolah rendah.
Kebaikan bermain atau melakukan aktiviti di luar rumah tidak terhad
kepada kanak-kanak saja kerana kajian juga menunjukkan orang dewasa yang
masih belum menghadapi masalah penglihatan juga akan mendapat
manfaatnya bagi mengurangkan perkembangan miopia. Ini kerana di kalangan
orang dewasa, rabun jauh juga adalah masalah biasa terutama di kalangan
individu yang mempunyai kerjaya memerlukan penglihatan jarak dekat
termasuklah mereka yang duduk di depan komputer sepanjang hari.
Dianggarkan satu pertiga penduduk Amerika Syarikat mempunyai masalah
rabun jauh yang disebabkan faktor genetik dan persekitaran (akibat
kerja). Menurut Pengarah Penyelidikan Kolej Optometri New England, Jane
Gwiazda, masalah rabun jauh lebih tinggi pada penduduk Asia termasuklah
negara kita.
Dalam kajian yang membabitkan 191
kanak-kanak dengan purata umur 13 tahun, peserta ditanya berapa lama
mereka menghabiskan masa untuk menggunakan komputer, membaca (bukan buku
pelajaran) dan menonton televisyen. Pada masa sama penglihatan
kanak-kanak berkenaan diperiksa setiap tahun. Hasil kajian mendapati
kanak-kanak yang mengalami rabun jauh lebih banyak menonton televisyen
(12.5 jam seminggu) berbanding hanya 8.4 jam pada kanak-kanak yang tiada
masalah penglihatan. Gwiazda berkata aktiviti di luar rumah boleh
‘menghalang’ isyarat untuk perkembangan rabun jauh.
Apabila terbabit dengan aktiviti di luar rumah, cahaya matahari akan
menyebabkan pupil (anak mata) mengecil bagi mengurangkan kemasukan
cahaya ke dalam mata. Keadaan ini membuatkan mata bertindak balas dengan
‘memanjangkan’ titik fokus yang membolehkan imej dilihat lebih jelas.
Titik fokus yang pendek (jatuh di depan retina) membuatkan seseorang
mengalami rabun jauh.
Dalam perkataan lain, mata kita boleh melihat lebih jelas di luar
rumah dengan adanya cahaya matahari dan mengelakkan berlakunya masalah
rabun jauh. Dalam kajian berkenaan, kanak-kanak yang menghabiskan lebih
banyak masa di luar rumah juga memperuntukkan masa yang agak lama
menonton televisyen, menggunakan komputer dan membaca – tetapi tidak
mengalami masalah penglihatan.
Bagaimanapun manfaat melakukan aktiviti di luar rumah tidak sekadar
pada penglihatan saja kerana ia juga mampu mengurangkan masalah
kegemukan yang semakin tinggi di kalangan kanak-kanak di negara kita. Ia
mendekatkan kanak-kanak dengan pelbagai penyakit kronik seperti tekanan
darah tinggi, kencing manis, kolesterol tinggi dan strok. Semua ini
adalah penyakit orang dewasa tetapi kanak-kanak juga boleh menghidapnya
jika mereka terlalu gemuk dan kurang aktiviti fizikal. Selain itu
aktiviti luar juga membolehkan kanak-kanak mendapat Vitamin D yang tidak
dapat diperoleh secukupnya daripada makanan. Badan memerlukan Vitamin D
untuk membentuk tulang yang sihat dan kuat serta mengurangkan risiko
penyakit jantung dan tekanan darah tinggi apabila mereka dewasa kelak.
Vitamin D juga penting untuk membantu badan menyerap kalsium daripada
makanan atau minuman dan mengawal kandungan renin serta protein yang
mempunyai kaitan rapat dengan tahap tekanan darah. Aktiviti cergas yang
dilakukan ketika di luar rumah akan membuatkan kanak-kanak tidur lebih
nyenyak pada waktu malam. Malah aktiviti yang memerlukan mereka berlari,
melompat, mendaki, menuruni tangga, ketawa atau menjerit gembira amat
baik untuk membina otot kecil dan besar, menguatkan tulang, memperbaiki
fungsi paru-paru dan meningkatkan tahap kesihatan secara keseluruhan.
Pada masa sama kanak-kanak ini akan mendapat manfaat sosial dan emosi
kerana mereka belajar untuk berinteraksi, berkongsi, bertolak ansur,
meneroka perkara baru dan memahami keperluan rakan sebaya. Dalam kajian
lain mendapati aktiviti cergas juga boleh membantu meningkatkan prestasi
akademik kanak-kanak kerana ia merangsang keyakinan dan daya tumpuan di
dalam kelas. Sebagai ibu bapa, apa yang anda perlu lakukan ialah
memastikan anak-anak supaya tidak terlalu leka bermain sehingga tidak
mempunyai masa untuk mengulang kaji pelajaran.
Bahkan kanak-kanak hiperaktif dan mengalami gangguan tumpuan (ADHD)
juga memberi tindak balas positif dari segi gejala apabila mereka dibawa
ke luar untuk menikmati alam sekitar – yang menjadi sebahagian daripada
rawatan. Kajian Universiti Illinois ke atas kanak-kanak ADHD berumur
lima hingga 18 tahun mendapati ‘terapi hijau’ ini mampu membuatkan
mereka lebih tenang dan kurang tekanan. Malah ia dikatakan ‘ubat
berkesan’ yang mampu menyelamatkan kanak-kanak ADHD yang tidak
menunjukkan tindak balas positif terhadap ubat.
Jadi jika anak anda sudah mula menunjukkan masalah berat badan
berlebihan, jangan biarkan masalah itu terus melarat. Ajak dan galakkan
mereka untuk terbabit dalam aktiviti cergas supaya berat badan mereka
boleh dikurangkan secara sihat dan perlahan-lahan. Dalam perkembangan
terbaru, kanak-kanak lelaki yang obes baligh lebih lewat berbanding
rakan sebaya mereka. Sebaliknya bagi kanak-kanak perempuan yang obes,
mereka akan cepat datang haid. Ini adalah perkara yang tidak normal dan
ia boleh membuatkan anak anda berasa tertekan kerana ‘berbeza’ dengan
rakan lain. Selain memberi peluang untuk anak bebas bermain di luar,
anda juga boleh menjadikan aktiviti berkebun untuk merapatkan hubungan
antara ibu bapa dan anak. Gunakan peluang ini untuk pendidikan tidak
formal dengan menceritakan kepentingan cacing kepada tanah dan
tumbuh-tumbuhan, kitaran hidup sejenis pokok atau serangga yang anda
temui. Rasa ingin tahu kanak-kanak memang tinggi dan inilah masanya
untuk anda memenuhinya dengan pelbagai maklumat berguna mengenai alam
dan kehidupannya. Ia bukan saja boleh menarik minat terhadap alam
sekeliling malah turut membantu mereka lebih memahami apa yang
dipelajari di dalam kelas.
Berkebun bukan saja memberi ketenangan kepada orang dewasa tetapi
kanak-kanak akan turut merasainya melalui pergerakan bangun, duduk,
berjalan dan sentiasa bergerak yang boleh disifatkan sebagai senaman.
Kanak-kanak yang turut membantu menanam sayur-sayuran akan berasa teruja
apabila melihat ia tumbuh dan membesar. Ketika inilah anda boleh
menerangkan kepadanya hubung kait antara cahaya, air, tanah dan
penjagaan yang perlu diberikan. Semua ini tidak dapat dipelajari jika
hanya terperuk di depan komputer atau televisyen.
No comments:
Post a Comment