Semalam saya dikunjungi Chef K, hos rancangan masakan, Jaguh Kampung di TV Astro. Dia kawan lama saya. Semasa zaman sekolah, kami seasrama.  Selepas itu tiada khabar berita hinggalah kami bertemu semula beberapa tahun lepas di pasar malam berhampiran rumah saya. Rupa-rupanya kami berjiran. Ketika itu, dia berulang alik bekerja di Bali.

Sepanjang tempoh berbelas tahun terputus hubungan, Chef K yang saya dan rakan-rakan panggil Wak  Kasdi ketika zaman sekolah,  berkelana ke serata dunia dengan senduk dan apronnya.

Dia pernah bekerja di Jepun, Norway dan London. Setelah jemu berulang alik ke Bali sebagai dapur global yang terakhir, Kasdi kini jadi tauke rempah. Di penghujung zaman sekolah, saya terkejut apabila dia beritahu mahu sambung belajar dalam bidang kulinari.

 
Sebagai pemain ragbi,  tidak ada ciri-ciri lelaki lembut, saya rasa dia seperti masuk ke dunia yang salah jika memilih bidang itu. "Bukan hang saja Mat, mak aku pun tak bagi aku jadi tukang masak," katanya.

Atas sebab itu, kata Kasdi, dia terpaksa tulis jurusan perbankan sebagai pilihan pertama dalam borang UPUnya, demi untuk jaga hati si ibu. "Akhirnya aku pilih ke dapur juga," ujarnya sambil tertawa.

Berbual tanpa teh tarik dalam persekitaran yang sejuk di meja kerja saya, Kasdi tiba-tiba hangatkan suasana dengan berkata, dia rasa pelik melihat ramai wanita sekarang sudah tidak ambil kisah dengan hal-hal dapur.

 
"Aku bercakap ni bukan sebab aku chef tapi frust, sedih kerana ramai orang sekarang tak faham apa makna dapur, air tangan dalam kehidupan kita. Depa ingat, kita makan hanya untuk isi perut. Lapar, makan, lapar, makan tak faham falsafah di sebalik penyediaan makanan, kaitannya dengan hubungan hati, kebahagiaan dan kesetiaan dalam hidup kita." Menarik juga pandangannya.

 
Kata Kasdi, kerana anggap dapur hanya berkaitan dengan mengisi perut, ramai orang, termasuk ibu-ibu memilih jalan mudah, beli sahaja makanan siap untuk keluarga.

"Aku cakap ni bukan soal khasiat tapi ramai tak sedar, makanan beli boleh jauhkan hubungan keluarga." Sebagai contoh, katanya, kenalannya, seorang wanita 40an, punya anak empat, langsung tidak tahu masak.

"Dia mengaku pada aku, masak nasi secara manual, pun dia tak reti." Wanita itu, kata Kasdi, menyerahkan segala urusan dapur kepada suaminya. Setiap hari, suamilah yang masak untuk keluarga.

Apa yang dia perhatikan, juga diakui sendiri oleh wanita itu, hubungan anak-anak dengan suami, jauh lebih rapat  berbanding dirinya. 


    "Inilah yang orang tak faham.Bila disebut air tangan emak,  kita ingat, sebab emak pandai masak. Bukan itu tapi soal sentuhan hati, memasak dari hati. Itulah yang anak-anak makan, jadi darah daging dan akan depa ingat sampai mati. Itulah makna air tangan. Kalau ayah yang masak, anak-anak akan lebih dekat dengan ayah. Nasiblah kalau emak tak pandai masak," katanya. Sedap atau tidak, kata Kasdi, bukan persoalan.
 
"Kalau emak sendiri tak pernah masuk dapur, macam mana nak masak untuk anak-anak. Macam mana anak-anak nak dengar kata kalau emak asyik 'tapau' nasi kedai mamak, jadilah anak-anak lebih rapat dengan mamak," katanya.

Wanita zaman sekarang, kata Kasdi, yang hidup terlalu berorientasikan kebendaan, jadi punca mereka tidak suka masuk dapur. "Zaman sekolah, berkurung dalam bilik atas alasan ulang kaji pelajaran, semasa di universiti, siang malam makan nasi bungkus, sudah kahwin, baru nak masuk dapur. Akhirnya pujuk suami ajak makan nasi kedai."

Pernah katanya, semasa mengunjungi rakannya  yang sudah tiga tahun berkahwin, dia diberitahu apa yang pernah digunakan di rumah itu hanya alat pemanas air sahaja. Dapur tak pernah sekali pun menyala.

 
"Bila aku tanya, depa jawab, siang malam makan di kedai. Tak tahulah macam mana nak bentuk keluarga kalau macam itu?" katanya. Apa yang lebih memalukan, kata Kasdi, wanita sekarang, sudahlah tidak tahu memasak,  tidak segan silu pula mengaku. Tidak tahu masak sudah dianggap biasa, bukan lagi sesuatu yang memalukan wanita zaman ini!


*petikan Sinar Harian


...nasib baik aku masih lagi kenal senduk,sudip,sudu,garpu,kuali,periuk,lesung batu...semua tu masih ada dalam dapur aku.Tu belum lagi masuk blender,oven,bread maker,sandwich maker,toaster...ha ha...korang ada?Tapi realitinya begitulah...isteri2 dan ibu2 zaman sekarang makin ramai yang tak reti memasak.Sebenarnya bukan susahpun nak masak...resipi pun berlambak2 ada dalam Internet cuma kadang2 kekangan masa yang membataskan kami untuk duduk di dapur lama2 macam mak2 kita dulu2...kalau ibu2 dah tak sempat...bapa2 lah kena ambil alih...salah ke?Tak salah kan...dan apa salahnya kalau anak2 lebih rapat dengan bapa daripada ibu.Lagi bagus kan...tapi...kat rumah ,selalunya aku lah yang masak...kenapa lak anak2 aku lebih rapat dengan abah diaorang?Hah!Kena kaji nih...he he